Monday, October 31, 2011

NAZRIL IDRUS - MONEY SIFU

31/10/2011-03:33am
Salam.
Membaca artikel ini...terasa kesibukannya...rasanya macam hidupnya penuh dengan jadual aktiviti yang ketat...bukan semua orang mampukan!
_____________________
Siapa dia Nazril Idrus
Nazril Idrus
AURA seorang perunding kewangan profesional yang dimiliki lelaki bernama Nazril Idrus ini cukup kuat meresapi atmosfera pertemuan kami.
Bayangkan, dalam temujanji singkat berdurasi kurang dua jam untuk sesi fotografi bersama OopStarz! baru-baru ini, lelaki yang mesra disapa Nash ini hampir saja bercerita segala-galanya mengenai dirinya.
Baik perihal peribadi dan keluarga, mahupun topik kerjaya, Nash cekap mengatur kata dan penuh dinamik dalam menjawab persoalan demi persoalan yang singgah.
Umum mengenali Nash sebagai seorang pengacara dan pelakon, juga suami kepada aktres Sazzy Falak. Tidak kurang juga yang mengenalinya selaku usahawan dan perunding kewangan.
Namun mungkin tidak ramai tahu komitmen dan visi besar yang dipendam oleh bapa kepada bayi kembar ini untuk menjadi pelatih perniagaan pertama di dunia dari rantau Asia.
Saat ditanya tentang impian itu, tanpa berlengah Nash berkata selepas menceburi bidang perundingan dan latihan kewangan secara profesional kira-kira setahun lalu, dia semakin pasti dengan bidang kerja yang dilakukannya kini.
“Kalau diikutkan saya baru saja terbabit dalam bidang perundingan dan latihan kewangan ini secara profesional kira-kira setahun yang lalu.
“Namun, dalam tempoh singkat itu, saya cukup komited untuk memantapkan kemahiran dan pengetahuan diri kerana saya sangat pasti dengan visi dan sasaran untuk bergelar pelatih perniagaan pertama di dunia dari rantau Asia,” hurainya ringkas.
Sambung Nash, sejak dia mula menyedari potensi sebenar selepas mengikuti sebuah bengkel motivasi pada 2009, kecintaan terhadap aspek kewangan dan perniagaan kian meningkat dan membuka matanya untuk melakukan perkara lebih baik dalam kehidupan.
“Pengalaman dan ilmu yang saya perolehi daripada pelbagai kursus berkaitan komunikasi, motivasi dan perniagaan menjadi pembuka mata untuk lebih mengenali potensi diri.
“Kini saya semakin pasti bahawa kebolehan dan ilmu yang saya miliki dalam aspek komunikasi adalah untuk melonjakkan kehidupan orang lain ke tahap yang lebih tinggi,” kongsinya penuh berkeyakinan.
Melihat keterujaan Nash berbual, lantas kami anjakkan perbualan menyusuri titik mula transformasi dirinya dari bidang hiburan ke landskap kewangan.
Sempat menghela nafas panjang sebelum menjawab, Nash berkata: “Apa saja yang menyentuh soal wang dan perniagaan adalah sesuatu yang mendatangkan keterujaan buat saya.”
“Selepas beberapa tahun bekerja dalam bidang perakaunan, saya semakin berasa bosan. Saya mula mencari potensi diri dan mencuba banyak bidang termasuk bidang hiburan.
“Namun, lapangan perniagaan dan kewangan adalah sesuatu ditakdirkan untuk saya.”Bergelar bapa
Nash akui dalam keghairahannya untuk mengejar sasaran tertentu dalam bidang kerjaya, ia tidak sedikit pun mengganggu gugat kepentingan institusi keluarga yang tebal menyelubungi nalurinya.
Riak ceria jelas terpancar pada wajah bapa kepada puteri kembar, Iman Lilly dan Tiara Rose, enam bulan, saat perbualan kami menjurus kepada topik keluarga. Bagai tidak mampu disembunyikan, Nash menegaskan biar sesibuk mana pun dirinya dengan pelbagai tuntutan, keluarga adalah keutamaan.
“Kehidupan saya sangat dirahmati. Walaupun saya dan isteri terpaksa menunggu sehingga empat tahun setengah untuk mendapatkan anak tetapi kini segala-galanya bagai sudah lengkap.
“Saya mempunyai keluarga yang bahagia, kerjaya yang baik dan kewangan yang stabil. Tiada apa lagi yang saya mahukan melainkan agar semua rahmat ini kekal berterusan,” katanya.
Dalam usaha untuk menjadi ketua keluarga juga bapa terbaik, dia melakukan banyak perubahan dalam hidup demi menumpukan lebih masa dan perhatian kepada insan-insan tersayang itu.
“Pengalaman menjadi bapa mengubah kehidupan saya secara menyeluruh. Ia secara tidak langsung menjadikan diri saya sangat komited pada keluarga dalam apa juga perkara yang dilakukan.
“Sejak menjadi bapa, tanggungjawab dan komitmen menjadi semakin besar. Saya akan pastikan pulang ke rumah lebih awal pada setiap hari untuk meluangkan masa bersama anak kembar saya.
“Saya perlu mencipta suasana kasih sayang dan keharmonian dalam keluarga. Saya bangga kerana mempunyai isteri yang hebat yang sentiasa menyokong di sisi,” katanya.Kembali mengacara
Menariknya, kesibukan Nash mengemudi cabang keusahawanan dan latihan perniagaan sama sekali tidak melenyapkan minat dalam bidang pengacaraan yang mula-mula memperkenalkan dirinya di pentas hiburan, kira-kira lima tahun lalu.
Menyentuh soal kerjaya, selain bergelar Money Sifu dalam program bual bicara The Breakfast Show (ntv7), terbaru Nash kini mengacarakan program keusahawanan iaitu Make The Pitch, juga untuk saluran ntv7.
Nash berkata, walaupun dirinya sibuk dengan pelbagai siri ceramah dan bengkel kewangan di serata dunia, tema dan konsep program tersebut menarik perhatiannya untuk terlibat.
“Saya sentiasa teruja apabila bercakap tentang bidang kewangan dan perniagaan. Kebetulan pula, program terbaru ini bertepatan dengan pengetahuan dan kemahiran yang saya miliki, jadi mengapa tidak saya melibatkan diri.
“Walaupun saya hanya memainkan peranan yang kecil sebagai pengacara, tetapi saya terbabit secara langsung pada aspek belakang tabir termasuk idea, konsep dan skripnya,” katanya.
Program mingguan yang bermula sejak 12 Oktober lalu itu bersiaran pada setiap Rabu pukul 8.30 malam di ntv7 selama 12 minggu.
________________________________End
CERITA BARU

1 comments:

Melati Qistyna's Mummy said...

Terima baca pasal Dia ni, moga beliau bahgia sokmo.... Suka tgk si kembar... :)