23/11/2011-01:10am
Salam....
Betapa pentingnya kemenangan....namun sepatutnya semangat kesukanan jangan dipinggirkan, jangan wang ringgit jadi ukuran, maruah negara lebih utama! Rasa puas bukan pada apa yang kita dapat tapi apa yang kita hasilkan!
______________________
Sebutir emas RM72,000
2011/11/23
KETIKA atlit negara yang memenangi pingat emas bakal menerima RM10,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), tetapi nilai emas dimenangi atlit tuan rumah Indonesia tampak lebih tinggi. Difahamkan, sebutir emas dimenangi atlit negara Merah Putih itu bernilai 200 juta rupiah (RM72,000) dan ganjaran tinggi itu antara usaha mereka menyuntik semangat atlit bagi memburu kejuaraan keseluruhan selepas kali terakhir memenanginya 14 tahun lalu.Ini bermakna tuan rumah itu perlu mengeluarkan peruntukan sebanyak RM13.1 juta untuk memberi insentif kepada atlit berdasarkan 182 emas dikutip mereka.Namun, atlit negara patut bersyukur kerana insentif RM10,000 yang bakal diterima itu adalah nilai baru selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu ganjaran RM5,000 diberi sebelum ini dikaji semula.
Jadi, berdasarkan skim baru ditetapkan April tahun lalu, atlit negara yang memenangi emas Sukan SEA akan menerima RM10,000 dan tambahan RM1,000 bagi rekod baru.
Bagi pasukan yang diwakili kurang lima atlit akan menerima RM10,000 bagi emas pertama dan selain daripada itu akan menerima habuan RM2,000.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SebutiremasRM72_000/Article/
__________________________________artikel 2
Cowok Ganteng: Betapa cetek mentaliti mereka
2011/11/23
LEGENDA Garuda di Stadium Gelora Bung Karno kini tinggal mitos semata apabila provokasi dan gegak gempita lebih 100,000 penyokong tidak mampu menggugat semangat Harimau Muda meraih pingat emas pada edisi ke-26, malam kelmarin. Bukan sekali, tetapi dua kali skuad tempang kendalian Ong Kim Swee diuji oleh tuan rumah dan keduanya berakhir dengan kemenangan buat negara. “Kami bukan saja diuji secara fizikal, malah mental juga,” kata Kim Swee.Pengendali berasal dari Melaka itu bagaimanapun bernasib baik apabila ketempangan skuadnya diganti kaki besi yang menyaksikan pemain simpanan turut beraksi cemerlang terutama dalam perlawanan menentang Indonesia pada perlawanan peringkat kumpulan dan final.Penulis dan rakan wartawan dari Harian Metro, Aziman Rosdi berpeluang merasai ujian mental dilalui Kim Swee dan anak buahnya apabila mengikut kumpulan penyokong Malaysia – Team Malaysia – menaiki bas ke stadium mengekori di belakang bas skuad negara.
Sepanjang jalan masuk ke perkarangan stadium, kedua-dua bas diiringi polis tidak dapat bergerak apabila penyokong tempatan menghalang kami dan ada yang bertindak membaling objek ke tingkap bas.
Sebagai wartawan, kami yang perlu sampai awal untuk mendapat tempat terbaik di kawasan media, sudah terasa seperti membuat kesilapan mengikut bas berkenaan kerana pasti lewat tiba ke stadium.
Selepas lebih 40 minit menunggu untuk melepasi gangguan penyokong dari pagar ke pintu masuk stadium yang jaraknya tidak sampai 100 meter, kami akhirnya diturunkan di tepi padang dan terpaksa berjalan dalam kumpulan sambil diiringi polis ke tempat duduk penonton.
Diejek “Balik! Balik!” oleh ribuan penonton dengan sebahagian besar daripada mereka termasuk kanak-kanak menunjukkan isyarat jari hantu dan penumbuk, kami terasa betapa ceteknya mentaliti mereka sebagai tuan rumah temasya yang sepatutnya menjalin perpaduan di kalangan negara rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun semua itu berbaloi dengan emas ke-59 negara dikutip oleh skuad bola sepak sehari sebelum temasya berakhir hasil kemenangan 4-3 pada penentuan penalti selepas seri 1-1 sebaik tamat masa tambahan.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/CowokGanteng_Betapacetekmentalitimereka/Article/
________________________artikel 3
Jakarta 'berkabung' gara-gara kekalahan skuad Garuda
JAKARTA - Jakarta seolah-olah 'berkabung' meratapi kekalahan skuad Garuda kepada Harimau Muda pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA XXVI di Stadium Utama Gelora Bung Karno, kelmarin.
Suasana di sekitar bandar raya ini semalam, iaitu sehari selepas kekalahan 3-4 Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti kepada Malaysia, bertukar suram berbanding sebelum ini.
Jika dua minggu lalu ketika acara bola sepak Sukan SEA di peringkat awal saingan, suasana bandar raya ini meriah dan berpesta dengan kehadiran kumpulan penyokong Indonesia yang berbaju merah, namun semalam segala-galanya berubah.
Tiada lagi kelibat kumpulan penyokong fanatik Garuda di sekitar bandar raya ini.
Suasana di sekitaran stadium juga lengang, bukan sahaja kerana acara bola sepak sudah berakhir, tetapi peminat seperti tidak mahu lagi memandang gelanggang yang menghampakan harapan mereka untuk memenangi emas Sukan SEA selepas menantinya selama 20 tahun.
Kaki-kaki bola juga seperti enggan lagi mengingatkan saat perit tewas kepada 'musuh abadi' 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti.
Seorang peminat bola sepak yang hanya mahu dikenali sebagai Yanto berkata, dia masih merasa kecewa kerana kekalahan pasukannya kelmarin.
Menurutnya, kekalahan kelmarin bukan sahaja mengecewakan penonton yang hadir ke perlawanan akhir tetapi turut dirasai mereka yang menontonnya di kediaman dan luar stadium.
"Bola sepak merupakan sukan No. 1 di sini. Kami memang mengharapkan kemenangan dalam acara ini.
"Final kelmarin lebih menarik dan mendebarkan kerana kami berdepan Malaysia, tetapi akhirnya kami kalah.
"Sudah tentu kekalahan itu mempengaruhi mood kami hari ini. Namun, tiada apa yang mampu kami lakukan, mahu atau tidak kami terpaksa menerima keputusan ini
______________________________End
0 comments:
Post a Comment