Tuesday, July 5, 2011

MENARIK BACA:ISTERI NAFI SARBINI BUNUH DIRI

05/07/2011-06:41am

Berminat untuk baca..logik juga kata isteri Allahyarham Sarbini.....agar kebenaran di raih..Al Fatihah buat arwah!(belum pasti bunuh diri)

___________________________

Isteri nafi Sarbani bunuh diri

Rabu, 06 Julai 2011

KUALA LUMPUR: “Saya syak melihat keadaan muka jenazah seperti dihempuk ke dinding selepas hanya diberitahu dia rebah,” kata isteri Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, April lalu.
Menurut Masiah @ Maziah Manap, 50, ketika diminta membuat pengecaman terhadap jenazah di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia terkejut melihat keadaan jenazah sedemikian rupa yang dipenuhi dengan darah beku.

“Kecederaan itu tidak seperti orang yang rebah, kalau rebah mesti luka sebelah saja,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abas di Mahkamah Koroner di sini, semalam.

Penyelia Petronas itu hanya mengetahui suaminya itu jatuh dari bangunan selepas pulang daripada melawat jenazah di hospital menerusi jirannya dan berita di televisyen, Dia bagaimanapun yakin suaminya itu tidak membunuh diri kerana arwah disifatkan sebagai seorang yang tenang, waras dan seorang yang berfikir panjang dan tidak akan membuat tindakan melulu.

“Kalau orang Islam yang sembahyang lima waktu sehari semalam dia akan tahu sekiranya bunuh diri akan mati dalam keadaan murtad dan saya memang yakin dia tidak akan bunuh diri,” katanya.

Dia turut mengesahkan pada pagi hari kejadian, suaminya ada memberitahu anaknya yang dia akan pergi ke SPRM dengan menaiki motosikal dan pulang ke rumah untuk mengambil kereta.



“Kalau dia nak bunuh diri, dia tidak akan cakap begitu, saya yakin dia akan pulang ke rumah pada sebelah tengah hari,” katanya ketika disoal peguam, Awtar Singh.

Terdahulu ketika menjawab soalan dikemukakan Abazafree, Masiah memberitahu mahkamah suaminya kali pertama dibawa ke SPRM pada 1 April lalu.

“Hanya pada keesokan hari, saya diminta suami untuk mengambilnya di SPRM dengan menaiki teksi,” katanya.

Dia yang memberi keterangan lebih satu jam itu juga memberitahu, kakitangan SPRM turut mempertikaikan aset miliknya membabitkan tiga rumah dan tiga kereta atas namanya ketika hadir ke pejabat itu untuk menjamin suaminya pada 1 April.

Pada hari kejadian, suaminya mendakwa SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan kerana dianiaya seorang ejen berhubung baucar RM100 bagi membantu siasatan kes mendakwanya menerima rasuah RM30.

“Arwah memberitahu saya ejen itu sudah mengaku mengambil RM70 daripada RM100 baucer berkenaan dan menganiayanya memberitahu RM30 diserahkan kepada dia (Sarbani). Tetapi suami saya bersumpah tidak pernah ambil duit itu. Dan sebagai isteri saya percaya dia tidak terima,” katanya.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lalu, disebabkan kecederaan parah akibat jatuh dari tempat tinggi.

Sementara itu, pegawai forensik yang menyiasat tempat kejadian memberitahu mahkamah ketika menyiasat tempat kejadian, dia mendapati keadaan si mati berada dalam keadaan tertiarap dan keadaan muka dengan tangan kanan berada di bawah badan, kaki bersilang serta tulang terkeluar di lutut mangsa.

Menurut Deputi Superintendan Shahrul Othman Mansor, 49, dari bahagian forensik Bukit Aman siasatan yang dijalankan turut menemui empat cap jari di bahagian bawah tingkap dan satu cap jari dan satu tapak tangan di pantri kawasan dipercayai mangsa terjatuh.

“Dia dipercayai cuba terjun ke bumbung gelanggang badminton itu, tapi gagal.

“Dari tingkap itu, ia kelihatan dekat tapi apabila keluar ia nampak jauh,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid.

Ketika gambar keadaan si mati ditayangkan di mahkamah, ahli keluarga Sarbani yang berada di galeri awam kelihatan menangis teresak-esak.

Inkues yang berjalan di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung hari ini dengan semua pihak akan dibawa melawat kawasan tempat kejadian.
Source:http://www.hmetro.com.my/articles/IsterinafiSarbanibunuhdiri/Article

_____________Kes Ahmad Sarbani Mohamed_____End

0 comments: