Saturday, September 17, 2011

DESAKAN SELEPAS ISA DIMANSUHKAN


17/09/2011-10:00am
Salam 19 Syawal.
Pemimpin yang kuat adalah pemimpin yang tahan desakan dan punya pendirian sendiri yang kuat dan percaya pada diri sendiri. Seorang pemimpin tidak akan dapat memuaskan hati semua orang yang di pimpinnya dan orang yang di pimpin(rakyat) akan sentiasa meminta2 apa jua kerana sifat rakyat begitu. Jika semua permintaan diikuti,ia menunjukkan kelemahan pemimpin itu. Tiada pemimpin yang dapat memimpin berdasarkan permintaan rakyat dan dapat memimpin dengan garis panduannya sendiri. Turutilah mana yang munasabah (berkepentingan tinggi) dan jangan takut membuat sesuatu yang tidak munasabah kerana lambat laun ia akan diterima sebagai perkara yang munasah jika ia adalah perkara yang baik dan berkesan.

_____________________________________________

Najib, bebaskan tahanan ISA sekarang jika ikhlas

September 17, 2011


KUALA LUMPUR, 17 Sept ─ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekarang sebagai langkah keikhlasan pertama ekoran pengumuman beliau untuk menghapuskan undang-undang tersebut.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, amat dikesali apabila kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengumumkan bahawa tahanan ISA akan kekal sehingga dua akta baru menggantikan ISA siap.
“Dua akta itu pula hanya akan dibentangkan tahun depan mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz dan semua ini menambah perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib (kelmarin),” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Tuan Ibrahim menambah, seharusnya Menteri Dalam Negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin sebagai langkah ikhlas dan demi membantu Najib mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa pengumuman melakukan reformasi untuk kebaikan negara bukanlah hangat-hangat tahi ayam seperti apa yang melanda siri reformasi ekonomi yang diwar-warkan.
Malah katanya, jika tidak dapat dibebaskan dengan serta-merta pun, PAS menggesa agar tahanan tanpa bicara ini dapat dihadapkan di mahkamah serta-merta supaya mereka dapat membela diri sekiranya kerajaan mendakwa mempunyai bukti kukuh mereka adalah golongan pengganas.
Pesuruhjaya PAS Pahang ini yakin terdapat puluhan lagi yang ditahan dalam kem Kamunting sekarang dengan pelbagai tuduhan yang mungkin hanya berpunca daripada sangka buruk, dendam dan politik seperti yang berlaku ke atas enam ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.
“Najib mesti memilih antara dua pilihan ini - sama ada mereka mesti dibebaskan atau dibicarakan,” kata beliau lagi.
Di samping itu, katanya, PAS juga menuntut kerajaan memohon maaf kepada tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara, ekoran Perdana Menteri mengakui terdapat kepincangan dalam akta ‘draconian’ tersebut sekiranya beliau betul-betul ikhlas dalam reformasi ini.
“Janganlah pula cepat menolak tanggungjawab untuk memohon maaf kepada bapa-bapa negara yang lalu kerana mereka yang menggubal akta yang zalim ini,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, “sebaliknya Najib patut mewakili bapa-bapa negara yang lalu untuk memohon maaf kepada semua tahanan ISA kerana mereka adalah daripada rumpun yang sama iaitu Barisan Nasional.”
“Sebagai tanda keikhlasan juga, kerajaan tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja kerana mangsa kekejaman ISA terus tertekan sama ada dari sudut mental, fizikal maupun spiritual. Nama mereka mesti dibersihkan akibat akta zalim ini,” kata beliau.
Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.
Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.
Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.
Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.
___________desakan selepas ISA dimansuhkan______End
CERITA BARU


0 comments: