Friday, September 9, 2011


KWSP digesa beri dividen sejajar prestasi

2011
/09/09

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tersenarai sebagai 10 pengurus dana pencen terbesar dunia dari segi aset tahun lalu wajar menterjemahkan prestasi mereka dengan pemberian dividen lebih tinggi dan kemudahan lebih baik kepada pencarum. 

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata ia perlu bagi memastikan pencarum mendapat manfaat serta imbuhan berganda daripada prestasi baik yang ditunjukkan KWSP.
“Untuk itu, adalah wajar sekiranya pencarum turut diberikan ‘bonus’ atau imbuhan yang setara dengan perkembangan semasa serta pengiktirafan yang diterima KWSP,” katanya ketika dihubungi semalam.
KWSP kelmarin buat kali pertama tersenarai sebagai 10 pengurus dana pencen terbesar di dunia dari segi aset pada tahun 2010 dalam kajian terbaru yang dijalankan syarikat perkhidmatan profesional global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Towers Watson. 

Dalam kajian tahunan itu, pengurus dana pencen Malaysia itu menduduki tangga kesembilan dengan jumlah aset keseluruhan bernilai AS$145.570 bilion atau RM433.79 bilion, mengatasi pengurus dana pencen Singapura, Central Provident Fund yang menduduki tangga ke-10 dengan jumlah aset keseluruhan bernilai RM431.63 bilion. 

Mohd Khalid berkata, kedudukan terbaik yang diperoleh itu tidak akan tercapai tanpa adanya jumlah caruman yang banyak daripada pencarum, justeru setiap perkara baik yang diperoleh KWSP itu wajar dikongsi manfaat bersama. 

Katanya, memang sudah menjadi harapan pencarum apabila berlaku perkembangan positif khususnya membabitkan pertubuhan berganda keuntungan mahu pun kedudukan kewangan, pastinya harapan mereka supaya ada sedikit imbuhan kepada pencarum melalui dividen mahupun penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang ada. 
“Cuma apa yang diharapkan prestasi KWSP ini dapat dikekalkan dan terus ditambah baik supaya ia terus dapat memberikan manfaat berterusan kepada pencarum dan pada masa sama mengukuhkan lagi kedudukan KWSP sebagai antara pengurus dana pencen terbesar dan terbaik dunia,” katanya. 

0 comments: