Thursday, September 4, 2014

KERANG-KERANGAN DI PERAIRAN PELABUHAN KUANTAN DICEMARI TOKSIN MERBAHAYA

04/09/2014-07:08pm

Assalam...nampaknya kena hati-hati beli kerang dan yang sewaktu dengannya..huhu
lagi baik stop kejap.


_______________________

Kerang-kerangan Di Perairan Pelabuhan Kuantan Dicemari Toksin PSP

04/09/2014

KUANTAN, 4 Sept (Bernama) -- Orang ramai dinasihati supaya tidak mengutip atau memakan kerang-kerangan di kawasan perairan sekitar Pelabuhan Kuantan, Tanjung Gelam, dekat sini kerana dicemari toksin 'paralytic shellfish poisoning' (PSP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata pemeriksaan pada sampel tiram dan plankton menunjukkan bacaan toksinnya adalah di antara 317 hingga 3,560 mikrogram (ug) per 100 gram.

"Bacaan toksin itu melebihi daripada standard piawaian ditetapkan iaitu 80 ug/100g di mana ia boleh memudaratkan pemakannya termasuk meninggal dunia sekiranya gagal mendapat rawatan dengan segera," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pengukuhan Komuniti Perikanan Pahang di sini Khamis.

Pencemaran toksin itu adalah kali pertama berlaku di perairan negeri ini dan mula dikesan selepas beberapa individu mengalami keracunan makanan selepas memakan kerang jenis tiram di kawasan itu pada November tahun lepas dan Ogos lepas.

Toksin itu dikesan menerusi pemeriksaan di Pusat Bio Sekuriti Jabatan Perikanan negeri terhadap sampel tiram di kawasan berkenaan susulan kejadian lapan pekerja Indonesia yang mengalami keracunan makanan selepas memakan tiram di pelabuhan itu pada 1 Ogos lepas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Adnan Hussain berkata pihaknya sedang menyiasat punca pencemaran toksin di perairan berkenaan dan sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya memasang papan tanda melarang orang ramai mengutip atau makan kerang-kerangan di sekitar kawasan berkenaan.

"Kita akan menganalisis sampel air di kawasan tersebut setiap minggu bagi menentukan kadar toksin di perairan negeri dan akan mengeluarkan amaran jika didapati ia tidak selamat untuk orang ramai," katanya.


 
 


-- BERNAMA
_____________________________End

1 comments:

tenku butang said...

Teringat kerang bakarrr